Walaupun bersedia mengenakan tarif besar terhadap produk Amerika seperti whiskey dan motosikal, EU akhirnya terpaksa menarik brek saat akhir.
Tarif bernilai €26 bilion ($28 bilion) yang sepatutnya bermula 1 April kini ditangguhkan ke 13 April, memberi ruang untuk rundingan saat akhir.
Langkah ini muncul tepat ketika Donald Trump bersiap sedia mengumumkan tarif baharu pada 2 April, yang digelarnya sebagai “Hari Pembebasan Amerika.”
Presiden AS itu sebelum ini lantang mengkritik dasar perdagangan EU, menuduh blok tersebut mengenakan cukai dan tarif yang tidak adil terhadap produk Amerika.
Sebagai tindak balas terhadap tarif keluli dan aluminium yang dikenakan oleh Washington, EU sebelum ini merancang langkah balas dengan mengenakan tarif lebih tinggi terhadap produk eksport AS, termasuk whiskey, motosikal, dan hasil pertanian seperti raspberi dan soya.
Namun, dengan penangguhan ini, persoalan besar timbul – adakah EU benar-benar ingin berkompromi, atau ini hanya ketenangan sebelum ribut tarif melanda?