Amerika Syarikat kini berlagak ‘pasifis’ dalam perang Ukraine-Rusia dengan mengumumkan perjanjian sementara untuk menghentikan pertempuran di Laut Hitam dan memastikan laluan perkapalan selamat.
Namun, seperti biasa, ada harga yang perlu dibayar.
Dimeterai di Arab Saudi, perjanjian ini bukan sekadar langkah damai tetapi lebih kepada permainan catur geopolitik.
Kremlin menegaskan ia hanya akan mematuhi gencatan jika sekatan Barat terhadap eksport makanan dan baja Rusia dikuburkan, tuntutan yang ditolak keras oleh Ukraine.
Trump, yang meraikan perjanjian ini sebagai “kejayaan global,” memberi bayangan bahawa AS sedang mempertimbangkan syarat Rusia.
Sementara itu, Kyiv kekal skeptikal, memberi amaran bahawa sebarang pergerakan kapal perang Rusia di Laut Hitam barat bakal membawa angin panas ketegangan melanda kawasan itu semula.
Ketika kedua-dua pihak masih melancarkan serangan dron dan peluru berpandu, kejayaan gencatan senjata ini bergantung kepada satu persoalan utama – adakah pelepasan sekatan akan menjadi harga kepada keamanan?