Setelah lebih 15 bulan begelumang bersama darah dan air mata, cahaya perdamaian akhirnya menyinari Gaza.
Perjanjian gencatan senjata berperingkat antara Hamas dan Israel, yang dimeterai pada Rabu lalu, dijangka berkuat kuasa mulai Ahad ini, membawa harapan baru kepada jutaan penduduk yang dilanda konflik tanpa henti.
Dengan Qatar dan Mesir menjadi tulang belakang serta dengan sokongan teguh Amerika Syarikat (AS), perjanjian ini menetapkan tempoh gencatan selama enam minggu.
Fasa pertama perjanjian termasuk penarikan tentera Israel secara beransur-ansur dari Gaza serta pembebasan 33 tebusan Israel, termasuk wanita, kanak-kanak, dan lelaki berusia lebih 50 tahun, sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin.
Presiden AS, Joe Biden, menyifatkan perjanjian tersebut sebagai langkah penting untuk “mengakhiri penderitaan” dan menyatukan semula keluarga yang terpisah.
Di jalan-jalan Gaza, kegembiraan bercampur kelegaan menyambut berita ini, walaupun krisis kemanusiaan yang teruk masih membelenggu penduduknya.
Bekalan makanan, air, dan bahan api berada pada tahap kritikal, manakala lebih 2.3 juta penduduk masih kehilangan tempat tinggal.
Sejak Oktober 2023, serangan udara dan darat Israel telah meragut lebih 46,000 nyawa rakyat Palestin.
Adakah gencatan senjata ini mampu bertahan, atau hanya menjadi jeda singkat dalam konflik yang berpanjangan?