Google akan melabur sebanyak $15 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang bagi membangunkan kapasiti pusat data untuk hab kecerdasan buatan (AI) di Andhra Pradesh, India.
Pelaburan tersebut merupakan antara yang terbesar pernah dibuat oleh Google di negara berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Google Cloud, Thomas Kurian dalam satu majlis rasmi di New Delhi menyatakan bahawa ia adalah hab AI terbesar yang bakal menerima pelaburan di luar Amerika Syarikat (AS).
Kampus pusat data berkapasiti 1 gigawatt milik unit Alphabet Inc akan dibina di bandar Visakhapatnam, dengan jumlah pelaburan dianggarkan sekitar $10 bilion.
Langkah itu diambil ketika persaingan semakin sengit dalam kalangan syarikat teknologi global, yang giat melabur dalam pembinaan infrastruktur pusat data baharu bagi memenuhi permintaan pesat terhadap perkhidmatan AI.
Selain itu, Microsoft dan Amazon turut melabur berbilion dolar dalam pembinaan pusat data di India, pasaran pertumbuhan utama bagi gergasi teknologi global dengan hampir satu bilion pengguna internet.
Pusat data baharu Google itu akan menjadi yang terbesar di Asia dari segi kapasiti dan jumlah pelaburan, selaras dengan pengembangan berbilion dolar portfolio Google di rantau ini, termasuk di Malaysia, Thailand dan Singapura.