Emas catat penurunan pada penghujung minggu lepas setelah memecahkan rekod baharu pada $3,057 hasil dorongan laporan mesyuarat FOMC dan konflik Timur Tengah yang kembali melarat.
Pada jam 8.50 pagi, harga emas berada pada paras $3,019.57 iaitu susut 0.14% sejak ia dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.
Suasana pasaran pada awal minggu dijangka sedikit suram kerana bullion bakal menetapkan posisi defensif apabila mata wang dolar AS telah menemui rentaknya semula untuk berada pada 104 mata pada bacaan indeksnya.
Selain itu, selepas mencapai paras tertinggi baharu mendorong para pelabur untuk mengambil sedikit keuntungan dan kembali fokus pada dasar perdagangan Donald Trump. Namun, ucapan pegawai Federal Reserve (Fed) terkini berkenaan ekonomi masih memihak untuk pergerakan menaik emas.
Pandangan dari penggubal dasar Fed menunjukkan pendirian Pengerusi Jerome Powell masih kekal untuk tidak tergesa-gesa dalam melaksanakan pengurangan kadar faedah.
Walau bagaimanapun, mereka masih tidak pasti tentang tindak balas ekonomi ekonomi terhadap tarif yang dikenakan baru-baru ini ke atas produk tertentu.
Melihat ke arah geopolitik, Israel mengumumkan peningkatan serangan di Gaza sebagai tekanan permohonan pembebasan tebusan serta mengabaikan rundingan gencatan senjata selama dua bulan.