Harga minyak terus berada dalam tekanan selepas susut sekitar 15% tahun ini, dan JPMorgan memberi amaran keadaan boleh menjadi lebih mencabar dalam tempoh dua tahun akan datang apabila bekalan dijangka berkembang jauh lebih pantas berbanding permintaan.
Menurut bank pelaburan itu, lebihan bekalan yang didorong terutamanya oleh pengeluar bukan OPEC+, khususnya Amerika Syarikat, berisiko mewujudkan ketidakseimbangan struktur berpanjangan dalam pasaran.
Walaupun permintaan dijangka terus meningkat, kadar pertumbuhan bekalan diunjurkan sehingga tiga kali ganda lebih tinggi, sekali gus menekan harga.
JPMorgan menjangkakan harga minyak Brent berpotensi merosot sehingga 50% menjelang akhir 2027, dengan paras harga boleh jatuh ke lingkungan $30 setong daripada sekitar $63.50 ketika ini.
Brent turut dijangka menembusi bawah $60 pada 2026 sebelum merosot ke paras rendah AS$50, manakala purata harga pada 2027 diramal sekitar AS$42 setong.
Lebihan bekalan diunjurkan mencecah 2.8 juta tong sehari pada 2026 dan kekal tinggi pada 2027, dengan prospek campur tangan kerajaan AS dilihat rendah susulan pendirian pro-minyak pentadbiran Donald Trump.
JPMorgan turut menegaskan beban pelarasan pasaran dijangka lebih tertumpu kepada bekalan, menjadikan risiko penurunan harga kekal dominan dalam jangka sederhana hingga panjang.




















































