Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal antara RM4,200 hingga RM4,500 satu tan dalam beberapa minggu akan datang, walaupun inventori domestik meningkat ke paras tertinggi sejak Januari tahun lalu.
Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menyatakan bahawa pengeluaran sawit negara meningkat 2.4% bulan ke bulan kepada 1.85 juta tan pada Ogos, dipacu oleh peningkatan hasil di Sabah (13,000) dan Sarawak (50,000).
Bagaimanapun, pengeluaran di Semenanjung Malaysia mula menurun selepas mencapai kemuncak pada Julai.
Eksport sawit kekal stabil pada 1.32 juta tan, dengan penghantaran ke Asia Pasifik, Afrika Sub-Sahara, EU-27, Afrika Utara dan Asia Barat mencatat peningkatan, manakala eksport Amerika dan Asia Selatan sedikit menurun.
Keadaan ini turut menyumbang kepada peningkatan stok kepada 2.2 juta tan pada Ogos, walaupun paras itu masih lebih rendah berbanding rekod 2018 hingga 2019 yang mencecah 2.5 hingga 2.7 juta.
Menurut MPOC, sawit terus menjadi peneraju harga minyak sayuran di pasaran antarabangsa pada suku ketiga, meningkat 10.9% berbanding suku sebelumnya.
Harga minyak bunga matahari melonjak 5.1% dan minyak kacang soya meningkat 3.8%. Sebaliknya, harga minyak kanola merosot 0.7% selepas China mengenakan duti import 75.8% ke atas kanola dari Kanada.
Permintaan global dijangka terus menyokong harga sawit sehingga 2026, apabila penggunaan empat minyak sayuran utama dijangka melebihi pengeluaran, sekaligus mewujudkan defisit bekalan sederhana.