Harga rumah di kawasan Lembah Klang dijangkakan bakal meningkat sebanyak 3% hingga 4% sepanjang tahun ini, terutama di kawasan elit seperti Desa ParkCity, Bangsar, dan Mont Kiara.
Seorang pempengaruh hartanah dan YouTuber, Sean Tan, berkata peningkatan harga ini dipacu oleh permintaan tinggi serta kekurangan unit kediaman di lokasi tersebut.
Melalui program The Nation di Bernama TV, beliau memberitahu bahawa dengan akses kediaman yang berpagar serta kawalan keselamatan yang ketat, tidak hairan sekiranya lokasi ini menjadi rebutan pembeli yang mahukan kediaman lebih selamat dan eksklusif.
Namun, beliau memberi amaran bahawa harga rumah bertanah di kawasan lama seperti SS2 dan Kepong mungkin sudah menghampiri paras siling akibat kekangan kemampuan serta persaingan dari projek baharu.
Sean menasihatkan bahawa pembeli kali pertama seharusnya mencari rumah yang sesuai dengan bajet mereka, sementara pelabur perlu memberi tumpuan kepada kawasan dengan bekalan terhad dan potensi sewa yang tinggi.
Dengan perubahan ekonomi dan infrastruktur, 2025 mungkin menjadi tahun anjakan bagi mereka yang ingin melabur di sektor hartanah yang kian kompetitif.