Indonesia, pengimport gula kedua terbesar dunia, dijangka mengekalkan import pada paras terendah dalam tempoh tujuh tahun menjelang 2026, susulan tekanan kerajaan untuk mengutamakan bekalan domestik.
Naib Presiden Persatuan Penapis Gula Indonesia, Januardi Suryo Haribowo memaklumkan bahawa pemproses akan membeli 3 hingga 3.1 juta tan gula mentah import mulai tahun depan berikutan permintaan yang lemah.
Beliau menyatakan import gula mentah tahun hadapan dijangka memenuhi kuota kerajaan sebanyak 3.4 juta tan, hampir sama dengan tahun lalu, selepas semua 11 ahli persatuan penapisan memenuhi syarat permit import.
Kementerian Pertanian menjelaskan bahawa negara akan menghentikan sementara import selepas petani mengadu hasil pertanian mereka tidak laku dijual.
Kementerian turut menyuarakan kebimbangan bahawa sebahagian gula yang sepatutnya untuk industri makanan dan minuman dijual kepada pengguna isi rumah pada harga lebih rendah berbanding bekalan domestik.
Menteri Perdagangan Indonesia, Budi Susanto berkata kerajaan tidak akan menghentikan import bagi syarikat yang sudah memiliki permit dan menggesa industri supaya menggunakan pengeluaran tempatan.
Di Indonesia, gula mentah import diproses oleh penapis untuk kegunaan industri makanan dan minuman, manakala gula untuk kegunaan rumah diperoleh daripada kilang yang memproses tebu tempatan serta import yang dikendalikan oleh kerajaan.
Suruhanjaya Parlimen juga menggesa Kementerian Perdagangan menilai semula lesen import yang dikeluarkan serta mengenakan penalti atau membatalkan lesen terhadap syarikat yang melanggar dasar tersebut.