Menjadi tumpuan pada awal sesi Eropah, data yang diterbitkan menunjukkan kadar inflasi tahunan di UK kekal pada 3.8% bagi bulan Ogos, tidak berubah berbanding Julai seperti yang dijangkakan.
Bacaan indeks harga pengguna yang kekal tinggi itu menunjukkan tekanan harga masih berlarutan.
Bacaan teras yang mengecualikan makanan dan tenaga mencatatkan sedikit penurunan kepada 3.6%, namun ia masih kekal jauh lebih tinggi daripada sasaran Bank of England (BOE) sebanyak 2%.
Harga makanan terus meningkat sekitar 5.1%, menambah beban kos sara hidup kepada isi rumah terutama bagi golongan berpendapatan rendah.
Inflasi perkhidmatan pula sedikit perlahan kepada 4.7% tetapi masih menunjukkan tekanan domestik yang sukar dikawal.
Pertumbuhan gaji yang kukuh juga memberi risiko inflasi kekal tinggi untuk tempoh lebih lama daripada jangkaan awal.
Menjelang mesyuarat dasar monetari BOE pada Khamis esok, pasaran menjangka bank pusat akan mengekalkan kadar faedah pada paras 4.00% sambil menunggu data yang lebih jelas sebelum mempertimbangkan langkah pelonggaran.
Isyarat daripada mesyuarat itu dijangka memberi gambaran sama ada ruang untuk pemotongan kadar faedah pada suku keempat tahun ini masih terbuka atau perlu ditangguhkan lebih lama.