Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek terus mencetuskan lagi kontroversi hangat apabila mengeluarkan sebuah kenyataan untuk memberikan ganjaran kepada pentadbiran sekolah yang berjaya mengekalkan rekod tanpa kes buli dalam usaha membanteras budaya buli yang kini semakin membimbangkan.
Cadangan Kementerian Pendidikan tersebut malangnya membuahkan kritikan dan kecaman yang hebat selepas ramai menzahirkan kebimbangan bahawa inisiatif itu hanya akan memburukkan keadaan apabila ia mendorong pihak pentadbiran sekolah menutup kes daripada pengetahuan umum demi mendapatkan insentif kerajaan.
Kenyataan yang dibuat ketika lawatan ke SMK Dr Burhanuddin, Taiping pada 16 Ogos lalu telah menarik perhatian netizen serta pemerhati pendidikan menegaskan langkah itu berisiko memburukkan keadaan apabila mangsa terpaksa menanggung penderitaan secara senyap kerana sekolah enggan melaporkan kejadian sebenar.
Sebelum ini, kementerian turut mencetuskan perdebatan apabila mengarahkan pengetua dan guru besar memimpin laungan “Kami Benci Buli” pada setiap permulaan dan akhir sesi persekolahan yang disifatkan sebagai simbolik semata-mata.
Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad meluahkan pendapat bahawa pendekatan lebih menyeluruh diperlukan, termasuk pemasangan CCTV di kawasan tersembunyi, lantikan warden sepenuh masa di asrama serta pembangunan Indeks Kesejahteraan Sekolah.
Beliau turut menyeru Malaysia agar mencontohi Australia yang berjaya menurunkan kadar buli melalui garis panduan jelas dan modul berasaskan bukti.