Tentera Israel membuka laluan tambahan selama 48 jam bagi membolehkan penduduk Palestin meninggalkan Bandar Gaza, ketika operasi ketenteraan diperhebat untuk mengosongkan kawasan awam dan berdepan ribuan pejuang Hamas.
Namun, ratusan ribu masih bertahan di bandar itu.
Ramai enggan berpindah ke selatan kerana bimbang keselamatan sepanjang laluan, kekurangan makanan, keadaan yang teruk serta ketakutan akan pemindahan kekal.
Penduduk Gaza, Ahmed yang merupakan guru sekolah berkata walaupun kami mahu meninggalkan Gaza, adakah jaminan kami boleh kembali? Adakah perang akan berakhir? Sebab itu saya memilih untuk tinggal di Sabra.
Sekurang-kurangnya 63 orang terbunuh akibat serangan Israel pada Rabu, kebanyakannya di Gaza City. Angka rasmi meletakkan jumlah kematian rakyat Palestin sejak perang bermula dua tahun lalu melebihi 65,000 orang, namun pegawai tempatan berkata angka sebenar mungkin lebih tinggi kerana ramai masih terperangkap di bawah runtuhan.
Antara mangsa terbaru ialah 13 orang termasuk wartawan TV tempatan Mohammad Alaa Al-Sawalhi.
Di Rafah, lima lagi maut dan puluhan cedera akibat tembakan berhampiran tapak bantuan. Tentera Israel mendakwa ia hanya melepaskan tembakan ‘amaran’ terhadap ancaman segera.
Sejak mengumumkan rancangan mengambil alih Gaza City pada Ogos, Israel menganggarkan 400,000 penduduk sudah meninggalkan bandar itu. Kereta kebal kini mara ke arah kawasan tengah dan barat, tetapi tiada kemajuan besar dilaporkan.
Seorang pegawai Israel berkata operasi dijangka berlarutan berbulan-bulan, dengan sasaran hanya sekitar 100,000 orang awam kekal di bandar itu.
Operasi boleh dihentikan sekiranya gencatan senjata dicapai, namun peluangnya semakin jauh selepas Israel menyerang pemimpin politik Hamas di Doha minggu lalu iaitu langkah yang mencetuskan kemarahan Qatar selaku pengantara rundingan. – Reuters