Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Ketegangan Israel dan Lubnan semakin memuncak selepas Israel melancarkan siri serangan udara baharu ke atas Lubnan semalam.
Menurut Agensi Berita Nasional Lubnan, serangan tersebut berlaku di kawasan pergunungan di bahagian selatan dan timur negara itu.
Situasi tersebut dilihat menggugat perjanjian gencatan senjata antara Israel-Lubnan yang ditandatangani pada November 2024 lalu selepas Israel melanggar perjanjian terbabit melalui siri serangan terbaharu ini.
Tentera Israel pula menegaskan bahawa operasi itu bertujuan menyasarkan tapak infrastruktur Hizbullah, termasuk sebuah kompleks ketenteraan yang digunakan kumpulan itu untuk menjalankan latihan.
Dalam satu kenyataan berasingan, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menyatakan mereka telah menyerang seorang anggota Hizbullah di kawasan Taybeh, selatan Lubnan.
Hizbullah turut mengecam tindakan Israel sekeras-kerasnya kerana melanggar perjanjian gencatan senjata, sambil mengulangi hak mereka untuk melindungi negara daripada sebarang bentuk pencerobohan.
Setakat ini, serangan berkenaan dilaporkan telah meragut dua nyawa dengan salah seorang mangsa berada kira-kira 30 kilometer di selatan Beirut.
Sejak perjanjian gencatan senjata dikuatkuasakan, Kementerian Kesihatan melaporkan sekitar 340 nyawa terkorban akibat serangan berterusan oleh Israel.


























































