Jepun melancarkan stablecoin pertama di dunia yang ditambat kepada mata wang yen, menandakan langkah penting dalam usaha memodenkan sistem pembayaran negara yang masih banyak bergantung kepada tunai dan kad kredit.
Syarikat pemula JPYC memaklumkan stablecoin itu akan disokong sepenuhnya oleh simpanan domestik serta bon kerajaan Jepun (JGB), dan boleh ditebus 1-ke-1 dengan yen.
Stablecoin berkenaan turut dinamakan JPYC. Pada fasa awal, JPYC tidak akan mengenakan sebarang yuran transaksi bagi mempercepatkan penggunaan aset digital tersebut, sebaliknya menjana pendapatan melalui faedah pegangan JGB.
Stablecoin dicipta bagi mengekalkan nilai yang stabil dengan menambatkan harganya kepada aset dunia sebenar, bertujuan menggabungkan kelebihan teknologi blockchain yang pantas dan selamat dengan kestabilan mata wang fiat.
Pelancaran di Jepun ini hadir selepas Presiden AS, Donald Trump, menyatakan sokongan terbuka terhadap sektor aset digital, sekali gus menyemarakkan minat terhadap integrasi blockchain dalam kewangan arus perdana.
China turut dilaporkan sedang mempertimbangkan penggunaan stablecoin yang disokong yuan, menunjukkan momentum global ke arah penggunaan aset digital yang lebih meluas dan kos efektif.
Menurut laporan Nikkei, tiga bank utama Jepun juga merancang untuk mengeluarkan stablecoin mereka sendiri, yang boleh mempercepatkan penerimaan aset digital dalam kalangan masyarakat yang sebelum ini sangat menggemari tunai.
Buat masa ini, stablecoin berasaskan dolar AS masih mendominasi dengan lebih 99 peratus daripada bekalan global, berdasarkan data Bank for International Settlements.
Di Asia, Jepun mula membenarkan penerbitan stablecoin melalui rangka kerja kawal selia pada 2023, manakala Korea Selatan turut merancang membuka laluan untuk stablecoin berasaskan won.
Walau bagaimanapun, pihak berkuasa kekal berhati-hati. Kerisauan terbesar adalah stablecoin mampu mengalihkan pergerakan dana di luar sistem perbankan tradisional dan berpotensi mengubah peranan institusi kewangan dalam aliran pembayaran global.
























































