Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Toyota Motor Corp merekodkan penurunan hasil jualan dan pengeluaran global pada November, sebahagian besarnya berpunca daripada kejatuhan mendadak di China selepas tamatnya skim subsidi bagi kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan cekap tenaga (EEV)
Menurut laporan syarikat itu semalam, jualan global termasuk anak syarikat Daihatsu Motor Co dan Hino Motors Ltd menyusut 1.9% kepada 965,919 unit berbanding tempoh sama tahun lalu.
Sementara itu, pengeluaran kenderaan turut merosot 3.4% kepada 934,001 unit.
Industri automotif global kini berhadapan dengan pelbagai ketidaktentuan, termasuk ketegangan perdagangan, perubahan peraturan yang kerap dan prospek ekonomi tidak menentu.
Prestasi ini menjadi petunjuk utama mengenai cabaran yang dihadapi industri dalam menyeimbangkan permintaan jangka panjang yang kukuh dengan halangan ekonomi dan dasar jangka pendek.
Jualan jenama Toyota dan Lexus di China merosot sebanyak 12% pada November lalu susulan berakhirnya subsidi pertukaran di bandar-bandar utama apabila dana subsidi tersebut semakin berkurangan.
Kemerosotan jualan tersebut berlaku susulan ketegangan antara China-Jepun semakin memuncak selepas Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi mengeluarkan kenyataan mengenai isu Taiwan yang menimbulkan kemarahan kerajaan China.
Sebagai tindak balas, China mengeluarkan amaran kepada rakyatnya untuk tidak melancong ke Jepun.
Walaupun pengeluaran kenderaan Toyota di Thailand meningkat 15% dan di Amerika Syarikat (AS) naik 9%, pengeluaran di China merosot 14%, di Jepun menyusut 9.7%, dan di United Kingdom (UK) menjunam 7.9%.
Bagaimanapun, Toyota kini turut menjadi tumpuan di AS selepas Presiden AS, Donald Trump sedang mempertimbangkan pelaksanaan tarif yang tinggi ke atas kereta dan alat ganti import.























































