Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Perkhidmatan Kastam New Zealand telah memeterai Perjanjian Pengiktirafan Bersama (MRA) bagi memperkukuh hubungan perdagangan dua hala serta memudahkan prosedur eksport dan import antara kedua-dua negara.
Perjanjian itu ditandatangani semalam oleh Ketua Pengarah JKDM, Dato Anis Rizana Mohd Zainudin dan Ketua Eksekutif Kastam New Zealand, Christine Stevenson, semasa lawatan rasmi selama empat hari Anis Rizana ke negara itu.
Christine menyatakan bahawa pengiktirafan tersebut mengurangkan kerenah birokrasi, menjimatkan kos dan memastikan barangan dagangan sampai ke pasaran dengan cepat serta selamat tanpa menjejaskan keselamatan sempadan.
MRA itu membolehkan kedua-dua pihak mengiktiraf program Pengendali Ekonomi yang Diiktiraf (AEO), sekaligus mempercepatkan dan mempermudah pemeriksaan kastam bagi pengeksport yang mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa.
KDM memaklumkan bahawa kejayaan memuktamadkan perjanjian yang dimulakan sejak 2021 itu menunjukkan keyakinan dan kepercayaan kedua-dua negara terhadap sistem kastam masing-masing.
Sebelum ini, New Zealand menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Malaysia menghapuskan tarif ke atas 99.5% eksport negara itu.
Jumlah dagangan barangan dua hala antara Malaysia dan New Zealand mencecah $3.96 bilion pada 2024.