Sebanyak RM492 bilion telah diperuntukkan oleh kerajaan menerusi Belanjawan 2025 bagi melaksanakan agenda reformasi negara yang merangkumi pelbagai aspek pentadbiran dan pembangunan.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM335 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM86 bilion diperuntukkan bagi pembangunan. Selain itu, RM69 bilion disediakan untuk peruntukan bukan fiskal dan RM2 bilion bagi simpanan luar jangka.
Kerajaan menekankan bahawa peruntukan ini memberi fokus kepada usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat, memperkukuh sektor pertanian dan perikanan, merangsang pertumbuhan ekonomi, menggalakkan keusahawanan serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat melalui naik taraf sekolah dan klinik daif.
Dalam masa yang sama, penubuhan Agensi Tugas Khas Reformasi (STAR) dilaksanakan sebagai mekanisme khusus untuk mempercepat agenda reformasi dengan mengurangkan kerenah birokrasi, menyemak semula peraturan lapuk dan memperkukuh daya saing negara.
STAR turut berperanan menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan produktiviti serta kecekapan perkhidmatan awam.
Kerajaan Madani menegaskan bahawa usaha reformasi ini bukanlah retorik politik, kosmetik atau bersifat jangka pendek, sebaliknya merupakan proses berterusan yang dilaksanakan secara menyeluruh demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian pembangunan negara.