Kementerian Pengangkutan pada hari Rabu semalam, telah mengesahkan sebanyak RM15 juta setahun telah dibelanjakan bagi kerja penyelenggaraan Sistem Kesedaran Automatik Keselamatan (Awas) di seluruh negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, jumlah itu merangkumi kos servis dan penyelenggaraan kamera, sistem pengurusan belakang tabir, selain kos percetakan saman Awas.
Pada Januari lalu, Infomina Bhd dilaporkan telah memperoleh kontrak tiga tahun bernilai RM22.35 juta daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi penyelenggaraan dan sokongan sistem berkenaan, termasuk infrastruktur pusat data, sistem pemulihan bencana serta rangkaian komunikasi.
Menurut Loke, kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan pemasangan kamera Awas meningkatkan pematuhan pemandu terhadap peraturan jalan raya sehingga 99% di lokasi terpilih.
Penerangan tersebut dijelaskan ketika beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Selangor, Hasnizan Harun yang meminta penjelasan jumlah kos pelaksanaan dan penyelenggaraan sistem itu sejak ia menggantikan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) pada 2017.