Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Kerajaan meningkatkan peruntukan bayaran balik cukai daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion bagi mempercepatkan penyelesaian tunggakan kepada pembayar cukai, menurut Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan kerajaan tidak sepatutnya berhutang kepada rakyat, justeru LHDN akan memulakan proses bayaran balik secara berperingkat kepada individu dan syarikat yang layak bermula Isnin, 8 Disember.
Anwar turut memaklumkan bahawa Kementerian Kewangan sedang menilai sama ada peruntukan RM4 bilion itu mencukupi, dan kerajaan bersedia menambah dana sekiranya diperlukan.
Menurutnya, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, serta pengurusan LHDN sedang meneliti jumlah sebenar yang perlu diselaraskan untuk memastikan semua bayaran dapat diselesaikan tepat pada masanya.
Beliau menegaskan bahawa pembayaran balik cukai adalah soal amanah dan kebertanggungjawaban, sambil mengingatkan bahawa mereka yang berhutang kepada kerajaan juga perlu melunaskan bayaran tanpa kelewatan.
Pada masa sama, Anwar mahu hutang kerajaan kepada syarikat diselesaikan segera, sambil mengkritik amalan lama di mana syarikat besar diberi ruang merundingkan pengurangan hutang sedangkan perniagaan kecil dipaksa membayar penuh tanpa pilihan.
Peningkatan peruntukan ini dibuat selepas kerajaan menerima banyak aduan daripada pengusaha kecil mengenai kelewatan bayaran balik cukai, yang menjejaskan aliran tunai mereka.
Dalam masa yang sama, Anwar menjelaskan bahawa hutang negara merupakan warisan pentadbiran terdahulu dan tidak mampu diselesaikan dalam tempoh singkat.
























































