Kementerian Kesihatan Jepun memaklumkan bahawa seorang wanita berusia 20-an yang baru pulang dari Afrika disahkan dijangkiti penyakit mpox di Kobe, Jepun.
Ujian genetik mengesahkan beliau dijangkiti strain Clade 1b, menjadikannya kes pertama virus ini dikesan di Jepun.
Virus mpox Clade 1b merupakan subvarian daripada keluarga monkeypox virus yang muncul di Republik Demokratik Congo dan dikenalpasti sebagai strain baharu dengan kebolehan penularan lebih cepat berbanding clade sebelumnya.
Pesakit tersebut mengalami demam dan ruam kulit sebelum mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan di Kobe pada 12 September. Pegawai kesihatan memaklumkan keadaannya kini stabil.
Strain ini diketahui menular di beberapa kawasan di Afrika Tengah.
Penularan virus ini bukan sahaja berlaku melalui sentuhan langsung dengan ruam atau cecair badan pesakit tetapi juga dilaporkan merebak melalui hubungan intim, menjadikannya lebih mudah tersebar dalam komuniti.
Walaupun kadar kematian Clade 1b dilihat lebih rendah berbanding Clade 1a yang lebih berbahaya, wabak ini tetap menimbulkan kebimbangan kerana kemudahan rawatan dan pengesanan di kawasan terjejas masih terhad.
Pakar kesihatan awam memberi amaran bahawa kelewatan dalam kawalan, kekurangan vaksin serta ketiadaan pengawasan rapi boleh menyebabkan Clade 1b terus merebak dengan lebih meluas dan berisiko menjadi ancaman global.
Setakat ini, pihak berkuasa mengesahkan tiada sebarang tanda penularan dalam komuniti di Jepun.