Menteri Luar Kesatuan Eropah (EU) dijangka membincangkan cadangan untuk melatih 3,000 pegawai polis Palestin yang akan ditempatkan di Gaza, menurut sumber berita Reuters.
Cadangan tersebut disediakan oleh perkhidmatan diplomatik EU menjelang mesyuarat menteri pada 20 November ini dan menyokong pelaksanaan pelan 20 mata bagi Gaza yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Walaupun Israel dan kumpulan pejuang Palestin, Hamas telah bersetuju dengan fasa pertama pelan itu bulan lalu, pelaksanaan langkah-langkah seterusnya masih belum pasti.
Dokumen Perkhidmatan Tindakan Luar EU mencadangkan pengembangan dua misi awam EU di rantau itu, yang sebelum ini memberi tumpuan kepada bantuan sempadan serta sokongan terhadap reformasi kepolisan dan kehakiman Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Dokumen itu turut menyebut kemungkinan memperluas misi pemantauan sempadan awam EU di Rafah ke pintu sempadan lain.
Bagaimanapun, pelaksanaan inisiatif ini masih belum pasti, terutamanya selepas Rusia mencadangkan draf resolusi sendiri di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Gaza.
Langkah itu dilihat sebagai cabaran terhadap resolusi yang disokong AS dan pengiktirafan pelan Trump.
Misi sokongan EU berpotensi menjadi peneraju dalam latihan pasukan polis Palestin di Gaza. Ia dijangka menyediakan latihan dan sokongan langsung kepada kira-kira 3,000 pegawai polis dari Gaza, dengan matlamat melatih kira-kira 13,000 anggota pasukan polis Palestin.
Selain itu, misi latihan ini dijangka merapatkan lagi kerjasama keselamatan antara EU dan Pihak Berkuasa Palestin, serta memperkukuh struktur penguatkuasaan undang-undang di Gaza.
Cadangan itu mencerminkan komitmen EU terhadap perancangan pelan pasca-konflik, di mana pegawai polis dilatih bukan hanya untuk rondaan, tetapi juga memainkan peranan dalam pembinaan semula institusi awam di Gaza.
























































