Kesatuan Eropah (EU) bakal menandatangani pakej bantuan kewangan berjumlah €75 juta kepada Mesir bagi menyokong pembangunan sosial dan ekonomi negara itu di bawah kerangka kerjasama 2024 hingga 2027.
Bantuan tersebut akan disalurkan bagi memperkukuh akses kepada pendidikan, kesihatan, air bersih dan sistem sanitasi terutama untuk wanita dan golongan muda.
Inisiatif ini turut bertujuan meningkatkan ketahanan Mesir terhadap cabaran ekonomi dan sosial selain membantu negara itu menstabilkan kedudukan fiskal dalam jangka panjang.
EU menyatakan bantuan berkenaan menjadi sebahagian daripada komitmen lebih luas bagi memperkukuh Perkongsian Strategik dan Komprehensif antara kedua-dua pihak.
Kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada enam bidang utama termasuk perdagangan, pelaburan, tenaga, keselamatan, migrasi dan pembangunan sumber manusia.
Mesir memainkan peranan penting dalam kestabilan rantau Timur Tengah dan dianggap rakan utama Eropah dalam isu pengurusan migrasi serta keselamatan serantau.
Selain bantuan tunai, EU turut bercadang menyalurkan pinjaman tambahan yang akan meningkatkan jumlah keseluruhan bantuan kepada lebih €7 bilion dalam tempoh empat tahun.
Langkah ini dilihat sebagai pengiktirafan terhadap peranan Mesir dalam diplomasi serantau serta usaha mengekang aliran pelarian ke Eropah.
Namun, pemerhati antarabangsa mengingatkan agar EU memastikan bantuan tersebut turut digunakan untuk memperbaiki rekod hak asasi manusia di Mesir.