Khazanah Nasional Bhd menegaskan tumpuan baharu kepada usaha memperkukuh kerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) dan China dalam bidang pelaburan, teknologi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Ketua Pegawai Pelaburan Khazanah, Datuk Hisham Hamdan berkata, selain membuat pelaburan langsung, pihaknya turut mencari syarikat dari kedua-dua negara yang boleh bekerjasama dengan usahawan Malaysia, khususnya dalam perkongsian teknologi dan kepakaran R&D.
Beliau menjelaskan bahawa China ketika ini melaburkan kira-kira 2.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mereka ke dalam aktiviti penyelidikan, sekali gus membuka peluang luas untuk Malaysia menjadi rakan strategik dalam bidang teknologi.
Katanya, Malaysia juga semakin menarik pelaburan dari AS dan China, terutamanya dalam pembangunan pusat data dan infrastruktur teknologi maklumat, selain berpotensi menjadi destinasi pengganti dalam rantaian bekalan global susulan perubahan dasar ekonomi dua kuasa besar itu.
Khazanah kini memiliki pelaburan dalam lebih 8,000 syarikat di seluruh dunia, dengan fokus bukan sahaja kepada syarikat tertentu tetapi juga sektor dan lokasi geografi yang mampu memberikan pulangan terbaik kepada negara.
Mengenai cadangan kerjasama dengan syarikat China dalam pembinaan kilang pemprosesan logam nadir di Malaysia, Hisham berkata perbincangan masih di peringkat awal namun mengakui industri tersebut merupakan salah satu bidang yang sedang dipertimbangkan.