Kos projek Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara Line di Pulau Pinang melonjak kepada RM16.8 bilion susulan kos pengambilan tanah, inflasi global serta peluasan jajaran sehingga ke Seberang Perai.
MRT Corp dalam kenyataan berkata, anggaran asal pada 2016 hanya RM10 bilion dengan jajaran dari Silicon Island ke Komtar.
Namun, keputusan kerajaan Persekutuan awal tahun ini untuk melanjutkan laluan sehingga Penang Sentral di Butterworth telah meningkatkan kos keseluruhan projek.
Daripada jumlah itu, RM2 bilion diperuntukkan bagi pengambilan tanah, manakala kontrak utama bernilai RM7.93 bilion telah dianugerahkan kepada SRS Consortium selepas proses penilaian semula kos.
Laluan sepanjang 29.5 kilometer dengan 21 stesen itu dijangka siap pada 2031, manakala tiga lagi laluan tambahan dirancang siap sepenuhnya menjelang 2050.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim menegaskan pihaknya berusaha memastikan LRT Mutiara Line menjadi sistem LRT paling berpatutan di Malaysia sesuai dengan peruntukan yang telah dilaburkan.