Pengerusi Oracle, Larry Ellison buat kali pertama dinobatkan sebagai individu terkaya di dunia, mengatasi CEO Tesla, Elon Musk.
Berdasarkan data Bloomberg Billionaires Index, nilai kekayaan bersih Ellison melonjak $101 bilion kepada $393 bilion (RM1.67 trilion), sekaligus mengatasi Musk yang memiliki $385 bilion (RM1.62 trilion).
Lonjakan kekayaan Ellison dipacu oleh peningkatan mendadak saham Oracle yang melonjak 41% pada dagangan harian tertinggi semalam – mencatatkan kenaikan terbesar dalam sejarah syarikat tersebut.
CEO Oracle, Safra Catz menyatakan bahawa syarikat itu telah menandatangani empat kontrak bernilai berbilion dolar dengan tiga pelanggan berbeza sepanjang suku fiskal pertama.
Perkembangan tersebut telah meningkatkan jumlah tempahan kepada $455 bilion, iaitu empat kali ganda lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Catz turut menambah pendapatan Oracle Cloud Infrastructure dijangka meningkat 77% kepada $18 bilion berbanding tahun lalu, dan berpotensi mencecah $144 bilion menjelang tahun 2030.
Unjuran positif ini mengukuhkan kedudukan Oracle dalam kalangan syarikat gergasi teknologi yang bersaing menguasai pasaran kecerdasan buatan (AI) bersama Microsoft, Google dan Amazon.