Malaysia menutup tirai penyertaan enam bulan di Expo 2025 Osaka, Jepun dengan pencapaian cemerlang apabila berjaya meraih potensi perdagangan dan pelaburan berjumlah RM24.45 bilion sekali gus mengatasi sasaran awal RM13 bilion dengan peningkatan sebanyak 188%.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hairil Yahri Yaacob, berkata jumlah itu meliputi RM5.62 bilion potensi eksport dan RM12.79 bilion potensi pelaburan hasil daripada 1,555 mesyuarat perniagaan yang dijalankan sepanjang ekspo tersebut.
Selain itu, lebih 70 memorandum persefahaman (MoU), perjanjian dan kerjasama (MoA, MoC) turut dimeterai dengan nilai potensi RM6.04 bilion.
Antara kerjasama strategik penting yang dimeterai termasuk antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO), serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan JETRO.
Hairil menjelaskan bahawa hubungan ini membuka ruang kepada projek berorientasikan masa depan dan pengukuhan jaringan institusi dua hala antara Malaysia dan Jepun.
MITI turut mengenal pasti sektor teknologi hijau, pembinaan, perkhidmatan profesional, bahan kimia, ICT serta produk dan perkhidmatan halal sebagai antara penyumbang utama kepada peningkatan potensi dagangan Malaysia di Osaka.
Hairil yakin momentum ini akan menyumbang kepada kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan sasaran 47 juta pelancong antarabangsa. – Bernama