Malaysia berjaya merekodkan jualan eksport bernilai RM376.14 juta pada acara Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-22 yang berlangsung di Nanning, China baru-baru ini.
Pencapaian itu diperoleh melalui penyertaan Pavilion Malaysia yang menampilkan 70 pempamer daripada pelbagai sektor termasuk pendidikan, kesihatan, farmaseutikal, bahan binaan, teknologi serta kecerdasan buatan.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, hasil tersebut membuktikan produk dan perkhidmatan Malaysia kekal berdaya saing serta mendapat permintaan tinggi di pasaran China dan ASEAN.
Selain jualan eksport, lebih 30 memorandum persefahaman dan perjanjian perniagaan turut dimeterai sepanjang acara tersebut, kebanyakannya hasil rundingan antara syarikat Malaysia dengan rakan dagang dari rantau berkenaan.
Produk tempatan seperti durian, kopi putih, biskut, sarang burung serta minyak sawit merah mendapat sambutan baik, selain beberapa syarikat Malaysia menerima pengiktirafan khas daripada penganjur.
Ekspo yang berlangsung dari 17 hingga 21 September itu dilihat sebagai platform penting bagi syarikat Malaysia menembusi pasaran China, selain mengukuhkan kedudukan negara dalam rantaian perdagangan serantau.