Meta, pada hari Jumaat yang lalu telah membuat satu pertaruhan yang besar dalam sektor AI pada 2025, dengan CEO Mark Zuckerberg mengumumkan perbelanjaan antara $60 bilion hingga $65 bilion untuk memperkukuh infrastruktur AI mereka.
Bersama dana tersebut, syarikat teknologi itu merancang untuk membina sebuah pusat data sebesar bandar kecil yang dilengkapi dengan 1.3 juta pemproses grafik Nvidia, dengan harapan pembantu AI mereka dapat melayani lebih 1 bilion orang menjelang 2025.
Zuckerberg berkata tahun ini akan menjadi ‘tahun penentu’ untuk masa hadapan AI, membuatkan Meta perlu di’upgrade’ untuk berlumba dengan pesaing besar seperti Microsoft dan Amazon untuk menguasai teknologi ini.
Pelaburan besar ini mencatatkan satu peningkatan yang signifikan berbanding perbelanjaan bernilai $38 bilion hingga $40 bilion pada tahun lalu.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan AI, Meta juga bakal membangunkan jurutera AI yang akan mula menyumbang lebih banyak kod kepada usaha penyelidikan dan reka bentuk, serta terus mengembangkan pasukan yang bekerja dalam perkhidmatan AI.