Seramai 600 pekerja di bahagian kecerdasan buatan (AI) Meta Platforms bakal diberhentikan sebagai langkah untuk mempercepat proses membuat keputusan dan memperkemas operasi syarikat.
Ketua Pegawai AI Meta, Alexandr Wang, yang menyertai syarikat itu pada Jun selepas pelaburan $14.3 bilion dalam Scale AI, mengumumkan pemberhentian tersebut melalui memo dalaman yang disahkan oleh jurucakap Meta.
Beliau turut menyatakan bahawa melalui penstrukturan ini, Meta berharap dapat mengurangkan birokrasi dan mempercepat proses membuat keputusan agar pasukan AI menjadi lebih tangkas.
Menurut laporan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mark Zuckerberg dilaporkan kecewa dengan kemajuan perlahan pembangunan AI syarikat itu susulan maklum balas bercanggah terhadap model Llama 4.
Makmal TBD yang baru ditubuhkan tidak terjejas oleh pemberhentian ini, namun kakitangan di seluruh bahagian infrastruktur AI, unit Penyelidikan Asas AI dan unit berfokuskan produk akan terlibat dalam pemberhentian berkenaan.
Para pekerja di Amerika Syarikat (AS) dimaklumkan pada pagi Rabu bahawa tarikh penamatan perkhidmatan mereka ditetapkan pada 21 November.
Selain bayaran pampasan selama 16 minggu, Meta juga menawarkan tambahan dua minggu gaji bagi setiap tahun perkhidmatan.
Dalam pada itu, pekerja yang terbabit digalakkan memohon jawatan lain dalam syarikat tersebut.
Walaupun menghadapi pemberhentian besar-besaran, Meta tetap meneruskan pelaburan dalam bidang AI, termasuk perjanjian bernilai $27 bilion dengan Blue Owl Capital untuk membiayai pusat data Hyperion di Louisiana.






















































