Malayan Banking Bhd (Maybank) telah melantik Mohamad Yasin Abdullah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Perbankan Islam dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank Islamic Bhd, berkuat kuasa 1 Oktober 2025.
Menurut kenyataan Maybank semalam, Mohamad Yasin akan mengetuai francais perbankan Islam serta memacu visi Maybank untuk menjadi peneraju global dalam kewangan Islam.
Beliau akan mengawasi semua aspek perniagaan kewangan Islam Maybank termasuk strategi, pembangunan produk, inovasi serta memastikan pengurusan risiko dan kepatuhan syariah berada pada tahap tertinggi.
Mohamad Yasin, 52, kini merupakan Ketua Eksekutif Audit Kumpulan (GCAE) Maybank dan mengetuai Pelan Strategik Audit Kumpulan Maybank 2023-2025 (GRASP25) untuk mempertingkatkan fungsi audit melalui amalan terbaik global serta memperkukuh jaminan di seluruh kumpulan.
Selain itu, Maybank turut melantik Malique Firdauz Ahmad Sidique sebagai GCAE baharu, mulai 1 Oktober 2025, bagi menggantikan Mohamad Yasin.
Malique, 47, akan melaporkan kepada Jawatankuasa Audit Lembaga Pengarah dan secara pentadbiran kepada Presiden serta GCEO Maybank, sambil memacu perubahan berterusan audit kumpulan berasaskan GRASP25.
Beliau juga akan memberi nasihat kepada semua sektor serta menjadikan audit kumpulan penyokong utama aspirasi masa depan melalui kawalan dalaman, tadbir urus risiko dan ketahanan organisasi.
Presiden Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata pelantikan ini mencerminkan kejayaan perancangan penggantian dalaman dan pengurusan bakat Maybank.