MR DIY Holding (Thailand) menyasarkan untuk mengumpul sehingga 5.6 bilion baht (bersamaan kira-kira $173 juta atau RM807 juta) melalui tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraian di Bursa Saham Thailand pada 5 November ini.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu memaklumkan bahawa sebanyak 4.5 bilion baht daripada hasil IPO akan diperuntukkan bagi pembinaan pusat pengedaran automatik yang bertujuan untuk meningkatkan kecekapan logistik serta rantaian bekalan.
Langkah tersebut akan membolehkan MR DIY menyokong lebih daripada 1,500 cawangan selepas tahun 2027, di samping mengoptimumkan kos operasi.
Harga IPO ditetapkan antara 8.30 hingga 8.60 baht sesaham, manakala tempoh langganan bagi pelabur runcit dijangka berlangsung dari 20 hingga 22 Oktober ini.
Selain itu, syarikat peruncitan barangan pembaikan rumah dan gaya hidup itu juga merancang untuk membuka sekurang-kurangnya 500 cawangan baharu di seluruh Thailand dalam tempoh antara 2025 hingga 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MR DIY, Andy Chin menjelaskan bahawa pasaran runcit pembaikan rumah di Thailand dijangka mencatat kadar pertumbuhan kompaun (CAGR) sebanyak 5.4%, meningkat daripada 182.6 bilion baht pada 2024 kepada 237.8 bilion baht menjelang 2029.
Beliau turut menyatakan bahawa MR DIY berkembang lebih pesat daripada pasaran keseluruhan dengan CAGR 15.3%, dan kini menguasai 9% pasaran, menunjukkan potensi pertumbuhan yang besar.
MR DIY Thailand merekodkan pendapatan sebanyak 16.2 bilion baht pada 2024, dengan purata pertumbuhan tahunan 28%, manakala keuntungan bersih meningkat kepada 1.7 bilion baht, mewakili CAGR 30% dalam tempoh yang sama.