OpenAI mengumumkan pelancaran ChatGPT Go di Malaysia, pelan langganan baharu yang direka untuk memberikan pengguna akses lebih luas kepada keupayaan ChatGPT pada harga lebih berpatutan.
Malaysia merupakan salah satu daripada 16 negara di Asia di mana ChatGPT Go dilancarkan hari ini.
Pelan langganan ini memudahkan orang ramai menggunakan ChatGPT untuk keperluan harian seperti mendapatkan nasihat, menulis secara peribadi, menerima tunjuk ajar, bimbingan penjagaan diri dan penyuntingan.
Sepanjang tahun 2024, bilangan pengguna aktif ChatGPT meningkat lebih 2.5 kali ganda, menunjukkan minat yang tinggi terhadap penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan seharian.
Dengan harga RM38.99 sebulan, pelanggan ChatGPT Go akan menikmati ciri-ciri popular ChatGPT, termasuk penjanaan imej, had mesej yang lebih tinggi, muat naik fail dan memori, semuanya dikuasakan oleh GPT-5, model tercanggih OpenAI.
Berbanding pelan percuma, ChatGPT Go menawarkan had mesej, penjanaan imej, serta muat naik fail atau imej sehingga 10 kali ganda lebih banyak, selain memori yang dipertingkatkan untuk memberikan respons lebih diperibadikan.
Naib Presiden ChatGPT, Nick Turley menyatakan bahawa berjuta-juta orang di seluruh Malaysia telah menggunakan ChatGPT bagi membantu proses pembelajaran, menyalurkan kreativiti dan menyelesaikan masalah harian.
Dengan Belanjawan Malaysia 2026 yang bakal diumumkan, serta fokus kerajaan terhadap penguasaan kemahiran digital, ini adalah masa yang tepat untuk memikirkan cara menjadikan alatan AI lebih mudah diakses dan inklusif – sejajar dengan semangat ‘AI untuk semua’ di Malaysia.