Niaga hadapan saham Amerika Syarikat (AS) kekal stabil selepas indeks S&P 500 dan Nasdaq ditutup lebih tinggi, disokong oleh keuntungan kukuh bank-bank utama serta jangkaan pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) pada akhir bulan ini.
Bank-bank utama mencatat keuntungan melebihi jangkaan, didorong oleh prestasi kukuh dalam segmen perbankan pelaburan dan perdagangan.
Keputusan positif daripada Bank of America, Morgan Stanley dan Goldman Sachs turut meningkatkan sentimen pasaran.
Kenaikan pasaran turut dipacu oleh jangkaan pelonggaran dasar monetari Fed selepas Gabenor Fed, Stephen Miran menggesa pemotongan kadar faedah segera susulan ketegangan perdagangan AS-China yang semakin memuncak.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas komen dovish Pengerusi Fed, Jerome Powell, yang mengukuhkan jangkaan bahawa bank pusat akan memulakan pemotongan kadar faedah pada dua mesyuarat terakhir tahun 2025.
Bagaimanapun, ketegangan tarif perdagangan baharu antara Washington dan Beijing telah mengehadkan kenaikan di Wall Street.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent menegaskan bahawa pentadbiran Presiden Donald Trump kekal dengan pendirian rundingan yang tegas.
Trump sebelum ini juga mencadangkan kemungkinan memutuskan hubungan perdagangan dengan China dalam sektor minyak masak, sambil menuduh Beijing ‘sengaja tidak membeli’ kacang soya dari AS.
Ketegangan yang memuncak semula itu berlaku ketika penutupan kerajaan AS berlarutan memasuki minggu ketiga, menyebabkan penerbitan data ekonomi utama tertunda dan meningkatkan ketidaktentuan pasaran.
Purata indeks S&P 500 meningkat 0.40% kepada 26.75 mata, Nasdaq yang berfokus kepada industri teknologi naik 0.66% kepada 148.38 mata, manakala Dow Jones pula jatuh 0.04% kepada 17.15 mata.
Sementara itu, saham United Airlines merosot 3% walaupun mencatatkan pendapatan suku ketiga melebihi jangkaan Wall Street, dengan syarikat itu meramalkan hasil kukuh bagi suku semasa.
Saham Salesforce Inc pula melonjak hampir 4% selepas syarikat perisian awam itu menaikkan sasaran pendapatan jangka panjangnya kepada lebih $60 bilion menjelang 2030 serta mengumumkan program pembelian balik saham bernilai $7 bilion.