Niaga hadapan indeks saham Amerika Syarikat (AS) menurun selepas Wall Street ditutup lebih rendah berikutan kebimbangan terhadap bank serantau, manakala ketegangan AS-China serta penutupan kerajaan yang berlarutan terus menekan sentimen pelabur.
Indeks S&P 500 menyusut 0.2% kepada 6,654.50 mata, Dow Jones jatuh 0.1% kepada 46,097.0 mata, manakala Nasdaq yang berfokus kepada industri teknologi menurun 0.2% kepada 24,778.50 mata.
Saham bank serantau jatuh selepas Zions Bancorporation dan Western Alliance Bancorporation melaporkan kerugian pinjaman akibat potensi penipuan, sekaligus mencetuskan semula kebimbangan terhadap pengawasan kredit dalam kalangan pemberi pinjaman kecil.
Zions menyatakan bahawa ia akan menanggung kerugian sekitar $50 juta selepas mendedahkan ‘salah nyata dan mungkir kontrak’ dalam pinjaman komersial melalui unit California Bank & Trust.
Western Alliance pula memaklumkan bahawa pihaknya sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap peminjam berkaitan cagaran yang disyaki palsu.
Saham Zions merosot lebih 13%, manakala Western Alliance susut hampir 10%, sekaligus menyebabkan Indeks Perbankan Serantau KBW jatuh sekitar 6%.
Dalam perkembangan lain, penutupan kerajaan AS yang kini memasuki minggu ketiga terus menekan keyakinan pasaran, mengganggu penerbitan data ekonomi, serta menimbulkan kebimbangan terhadap pertumbuhan jangka pendek.
Pelabur kekal berwaspada terhadap ketegangan AS-China yang semakin memuncak selepas Presiden Donald Trump mengumumkan tarif tambahan 100% ke atas semua import China mulai bulan depan sebagai tindak balas terhadap sekatan nadir bumi Beijing.
Sementara itu, keyakinan terhadap sektor cip selepas keputusan positif Taiwan Semiconductor Manufacturing Co (TSMC) meningkatkan saham teknologi utama pada awal dagangan, namun kelemahan dalam sektor perindustrian dan kewangan mengimbangi keuntungan tersebut.
Saham JB Hunt meningkat lebih 20% selepas syarikat itu melaporkan prestasi suku tahunan yang kukuh.
Saham syarikat farmaseutikal Eli Lilly dan Novo Nordisk pula merosot selepas Trump mencadangkan penurunan besar harga bagi ubat obesiti keluaran mereka.
























































