Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Menjelang penghujung tahun, aktiviti pengeluaran data ekonomi dilihat perlahan berikutan bank-bank pusat utama dunia mula memasuki tempoh cuti sempena Krismas dan Tahun Baharu.
Walau bagaimanapun, terdapat satu data yang kekal menjadi tumpuan utama pasaran mata wang, iaitu angka awal KDNK AS bagi Suku Ketiga yang dijadualkan diterbitkan pada jam 9.30 malam ini (Selasa).
Penerbitan data tersebut mengalami kelewatan susulan penutupan kerajaan, selain pelabur kini menilai tanda-tanda kelemahan dalam pasaran buruh AS.
Selain KDNK, data seperti pesanan barangan tahan lama, pengeluaran perindustrian dan keyakinan pengguna turut dijangka mempengaruhi sentimen jangka pendek terhadap dolar AS.
Penganalisis pasaran menjangkakan pertumbuhan ekonomi AS akan sederhana kepada 3.6%, berbanding 3.8% pada bacaan sebelumnya.
Sekiranya data yang diterbitkan menunjukkan kelembapan yang jelas, ia berpotensi mengukuhkan jangkaan bahawa Federal Reserve akan mula melonggarkan dasar monetari seawal suku pertama tahun hadapan, sekali gus memberi tekanan lanjut kepada dolar AS.
Sebaliknya, jika angka awal KDNK diterbitkan lebih tinggi daripada jangkaan, ia boleh mencetuskan reaksi pengukuhan sementara dolar AS, memandangkan pasaran mungkin menilai semula jangkaan pemotongan kadar faedah Fed.
Senario ini berpotensi mendorong hasil bon AS meningkat dan mengehadkan aliran keluar daripada USD dalam jangka pendek, khususnya dalam persekitaran kecairan pasaran yang rendah menjelang hujung tahun.

























































