Jualan runcit AS meningkat lebih perlahan pada bulan September, memberi isyarat permintaan pengguna mula melemah ketika negara baru sahaja keluar daripada penutupan kerajaan yang menghalang penerbitan data ekonomi utama. Jualan runcit utama naik hanya 0.2%, jauh di bawah jangkaan pasaran dan separuh daripada pertumbuhan Ogos.
Jualan runcit tidak termasuk automobil, petrol, bahan binaan dan perkhidmatan makanan menurun sebanyak 0.1%, menandakan kelembapan asas dalam perbelanjaan pengguna. Jualan teras lain juga menunjukkan pertumbuhan sederhana dan mencerminkan perubahan tingkah laku pembelian menjelang musim percutian.
Peruncit besar melaporkan bahawa pengguna kini lebih berhati-hati yang dilihat memilih barangan asas. Walmart, Target dan Home Depot menekankan tekanan berterusan ke atas isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana akibat inflasi, tarif dan kadar pinjaman yang lebih tinggi.
Laporan jualan runcit ini juga dikeluarkan ketika Rizab Persekutuan membuat pertimbangan terhadap tindakan dasar monetari seterusnya menjelang mesyuarat bulan Disember. Pegawai the Fed berbeza pandangan, terutamanya selepas data pasaran buruh September menggambarkan pertumbuhan pekerjaan yang bercampur dan kadar pengangguran tertinggi sejak 2021.
Walaupun gambaran ekonomi bercampur-campur, pasaran dilihat semakin yakin terhadap kemungkinan pengurangan kadar faedah pada Disember, dengan kebarangkalian kini meningkat kepada 85%. Pelabur melihat data runcit yang lemah sebagai faktor tambahan yang boleh mendorong Fed untuk melonggarkan dasar lebih awal.






















































