Persaingan sengit antara minyak sawit dan minyak kacang soya di pasaran global dijangka kembali memuncak, sekaligus menimbulkan ketidaktentuan terhadap harga minyak masak di pasaran tempatan dalam tempoh terdekat.
Keadaan ini berpunca daripada perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, yang kini mula menjejaskan rantaian bekalan minyak sayuran di peringkat global.
Menurut laporan penyelidikan RHB Research, tindakan China menolak pembelian kacang soya AS telah menyebabkan Amerika Syarikat menghadapi lebihan stok komoditi.
Situasi itu dijangka memberi tekanan kepada harga kacang soya serta produk terbitannya, termasuk minyak kacang soya (SBO) di pasaran antarabangsa.
Penurunan harga SBO turut menjejaskan kedudukan minyak sawit mentah (MSM) sebagai minyak sayuran pilihan, dengan perbezaan harga antara kedua-duanya merosot 55% dalam tempoh tiga minggu yang lalu.
Penganalisis RHB Research menegaskan bahawa penurunan berterusan harga SBO berpotensi mencetuskan risiko ‘kemusnahan permintaan’ terhadap minyak sawit.
Fenomena serupa juga pernah berlaku pada awal 2025 apabila India, sebagai salah satu negara pengimport utama dunia, mula mengutamakan pembelian SBO berbanding MSM.
Langkah India itu menyebabkan import minyak sawit jatuh 18% sehingga Ogos 2025, dengan risiko peralihan permintaan kembali membayangi pasaran ketika harga MSM berada antara RM4,400 hingga RM4,500 satu tan.
Walaupun berdepan tekanan, harga MSM dijangka disokong oleh komitmen Indonesia untuk meneruskan mandat biodiesel B50 pada 2026, menurut RHB Research.
Program B50, yang menambah adunan minyak sawit dalam bahan api diesel, dianggarkan akan mewujudkan permintaan tambahan sebanyak 2.65 juta tan di Indonesia, sekaligus membantu menyerap sebahagian bekalan di pasaran.