Pentadbiran Trump memaklumkan bahawa mereka lebih mementingkan kualiti perjanjian perdagangan berbanding mengejar tempoh masa, kata Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent pada Isnin menjelang tarikh akhir 1 Ogos untuk memuktamadkan perjanjian atau berdepan tarif tinggi.
“Kami tidak akan terburu-buru semata-mata untuk menandatangani perjanjian,” kata Bessent dalam suatu temu bual.
Apabila ditanya sama ada tarikh akhir itu boleh dilanjutkan bagi negara yang sedang menjalankan rundingan positif dengan Washington, Bessent berkata keputusan terletak di tangan Presiden Donald Trump.
“Kita akan lihat apa yang presiden mahu lakukan. Tetapi jika kita berbalik semula kepada tarif 1 Ogos, saya fikir kadar tarif yang lebih tinggi akan memberikan lebih tekanan kepada negara-negara terbabit untuk menawarkan perjanjian yang lebih baik,” katanya.
Mengenai China, Bessent berkata rundingan akan diadakan “dalam masa terdekat.”
“Saya rasa perdagangan kini berada dalam kedudukan yang baik dan kita boleh mula bercakap tentang perkara lain. Malangnya, China adalah pembeli utama minyak Iran dan Rusia yang dikenakan sekatan,” katanya.
“Kita juga boleh membincangkan isu besar yang sering diabaikan iaitu penstrukturan semula ekonomi besar-besaran yang perlu dilakukan oleh China.”
Bercakap kepada CNBC, Bessent berkata beliau akan menggalakkan Eropah untuk mengikut langkah AS sekiranya tarif skunder dikenakan ke atas Rusia.
Mengenai Jepun, Bessent menegaskan bahawa pentadbiran AS kurang mengambil kira politik dalaman Jepun, sebaliknya lebih fokus untuk mendapatkan perjanjian terbaik buat rakyat Amerika.