Perdagangan dua hala antara Malaysia dan China mencecah $131.84 bilion (RM554.91 bilion) bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini, menandakan momentum kukuh pada awal sambutan ‘50 Tahun Keemasan’ hubungan kedua-dua negara.
Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing menyifatkan angka tersebut sebagai bukti kerjasama yang semakin rancak pada satu majlis resepsi sempena ulang tahun ke-76 penubuhan China semalam.
Beliau juga menyeru China dan Malaysia terus mengukuhkan hubungan persahabatan, mempererat komunikasi strategik, memperluas kerjasama praktikal dan membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.
Siri lawatan berprofil tinggi oleh pemimpin kedua-dua negara telah memberi dorongan kuat kepada pembangunan komuniti China-Malaysia yang bersatu dengan masa depan bersama.
Pada April lalu, Presiden Xi Jinping melawat Malaysia dan kedua-dua negara bersetuju membina komuniti strategik China-Malaysia, sekaligus memperkukuh hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi.
Perdana Menteri Li Qiang turut berkunjung ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pada Mei lalu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkunjung ke China awal bulan lalu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) Plus 2025, serta menyertai perarakan Hari Kemenangan sempena ulang tahun ke-80 berakhirnya Perang Dunia Kedua di Dataran Tiananmen, Beijing.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Ouyang, bersama menteri lain, diplomat, pemimpin politik, diaspora, wakil syarikat China serta pelajar antarabangsa di Malaysia bagi meraikan kejayaan serta hubungan mesra kedua-dua negara.
Pada 2024, Malaysia dan China meraikan 50 tahun hubungan diplomatik, dengan China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 2009.
Jumlah perdagangan kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion pada 2024, mewakili 16.8% daripada jumlah perdagangan global Malaysia sebanyak RM2.879 trilion.