Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melanggar Perlembagaan Persekutuan susulan tindakan menandatangani perjanjian dagangan timbal balik dengan Amerika Syarikat tanpa kelulusan Parlimen.
Menurut bekas perdana menteri itu, sebarang perjanjian antarabangsa yang berpotensi bercanggah dengan Perlembagaan perlu dibentangkan di Dewan Rakyat untuk mendapat kelulusan majoriti dua pertiga sebelum dimeterai.
Mahathir mendakwa perjanjian berkenaan melanggar Artikel 153 yang menyentuh kedudukan istimewa orang Melayu serta beberapa peruntukan lain dalam Perlembagaan.
Beliau turut mengumumkan resolusi bersama antara beberapa parti politik termasuk Berjasa, Urimai dan Parti Rakyat Malaysia serta beberapa NGO untuk menolak perjanjian tersebut.
Kritikan terhadap perjanjian itu tertumpu pada Artikel 5.1 yang mewajibkan Malaysia mengambil tindakan perdagangan selari dengan AS apabila Washington mengenakan tarif atau sekatan terhadap negara ketiga atas alasan ekonomi atau keselamatan.
Pihak yang menentang bimbang klausa tersebut boleh menjejaskan kedaulatan dasar perdagangan Malaysia.
Namun, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menegaskan perjanjian itu bersifat fleksibel dan boleh dirunding bagi menangani isu keselamatan bersama.
Perdana Menteri Anwar pula menegaskan terdapat klausa keluar yang membolehkan Malaysia menarik diri jika perlu, namun Mahathir menolak hujah itu dengan menyifatkannya sebagai alasan semata-mata.











			








































