Pizza Hut United Kingdom (UK) akan menutup 68 restoran dan 11 lokasi penghantaran, mengakibatkan 1,210 pekerja kehilangan pekerjaan selepas syarikat induknya di Britain memasuki pentadbiran.
FTI Consulting semalam diumumkan sebagai pentadbir bagi DC London Pie Ltd, syarikat yang mengendalikan restoran Pizza Hut di UK.
Bagaimanapun, pemilik Pizza Hut, Yum! Brands bersetuju untuk menyelamatkan 64 restoran di UK, sekaligus mengekalkan 1,276 pekerjaan.
Pengarah Urusan Jenama Pasaran Operasi Antarabangsa Yum! Brands, Nicolas Burquier menyatakan bahawa pemerolehan ini bertujuan untuk melindungi pengalaman pelanggan serta pekerjaan di lokasi yang diperoleh.
Penutupan tersebut berlaku ketika industri hospitaliti Britain menghadapi peningkatan kos, termasuk gaji pekerja dan sumbangan keselamatan sosial, sementara pengguna lebih berhati-hati dalam perbelanjaan dan mengurangkan kunjungan ke restoran.
Penutupan restoran ini turut memberi kesan kepada pemegang kad hadiah Pizza Hut, kerana kad tersebut hanya sah digunakan di restoran yang masih beroperasi.
Pakar mengesyorkan agar pemegang kad menggunakan baki mereka dengan segera.
Sebahagian pekerja yang terjejas oleh penutupan restoran dijangka akan dipindahkan ke operasi Pizza Hut yang masih beroperasi di bawah pemilikan Yum! Brands.