Mencuri perhatian dunia, Perdana Menteri Albania Edi Rama mengumumkan bahawa menteri kecerdasan buatan (AI) mereka kini sedang ‘hamil’ dan bakal melahirkan “83 anak digital”.
Dalam usaha menangani isu rasuah negara, Albania sebelum ini telah memilih pendekatan teknologi dengan melantik sistem kecerdasan buatan yang dinamakan sebagai Diella sebagai Menteri Negara bagi Kecerdasan Buatan.
Ini menjadikan Diella sebagai menteri AI yang pertama di dunia.
Dikembangkan oleh National Agency for Information Society (AKSHI) bekerjasama dengan syarikat global, Diella mula diperkenalkan pada Januari 2025 sebagai pembantu maya pada platform e-Albania untuk membantu warganegara mendapatkan dokumen dan perkhidmatan awam secara digital.
Pada 11 September 2025, Perdana Menteri Rama mengumumkan pelantikannya di dalam kabinet, memberi tanggungjawab utama kepada Diella untuk menyelia bidang pembekalan awam dan kontrak kerajaan bagi membasmi amalan rasuah yang tinggi dalam sektor tersebut.
Dalam ucapan beliau, Rama berkata bahawa Diella akan membantu memastikan tender awam akan bebas 100% daripada rasuah dan menekankan bahawa AI tidak mempunyai kelebihan peribadi atau konflik kepentingan seperti manusia.
Pelantikan ini disambut dengan harapan bahawa teknologi boleh mempercepatkan transformasi digital, meningkatkan kecekapan kerajaan dan menyokong matlamat Albania untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU) selewat-lewatnya 2030.
Bagaimanapun, pengkritik menyuarakan kebimbangan tentang bagaimana tanggungjawab seorang “menteri” boleh diberikan kepada entiti bukan manusia dari segi perlembagaan, akauntabiliti dan keselamatan siber.
Diella turut menjadi tajuk perhatian global apabila Perdana Menteri Rama mengumumkan bahawa “Diella sedang hamil” dengan 83 “anak”, merujuk kepada 83 pembantu digital AI yang akan ditugaskan kepada setiap ahli parlimen dari pihak kerajaan.
Ini menjadi satu metafora yang menonjolkan visi teknologi negara tersebut.
Meski begitu, pelaksanaan penuh sistem ini masih dalam peringkat awal dan kesannya terhadap pentadbiran kerajaan serta demokrasi Albania masih harus diperhatikan dengan teliti oleh pemerhati teknologi dan tadbir urus.






















































