Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global 2025.
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Pengerusi Global Islamic Finance Awards (GIFA) 2025, Prof Humayon Dar dalam satu majlis gemilang hari ini.
Anwar menyifatkan penghargaan itu bukan hanya untuk dirinya semata-mata, tetapi juga untuk semua wira di sebalik tabir yang berkorban demi kemajuan sistem kewangan islam.
Beliau juga bersyukur kerana dapat bersama-sama untuk meraikan penggerak, pengasas dan rakan-rakan yang membangunkan institusi kewangan negara serta mewujudkan kerangka perbankan dan kewangan islam yang kukuh.
Perdana Menteri mengingatkan bahawa terdapat cabaran besar untuk terus memperkukuh kewangan islam supaya selaras dengan Maqasid Shariah yang menekankan keadilan, keseimbangan dan peluang saksama.
Kewangan islam bukan sekadar pilihan sampingan, tetapi sebagai satu sistem penuh harapan dengan instrumen yang lengkap, menyeluruh dan lestari.
Kenyataan itu dibuat selepas beliau menerima anugerah berprestij tersebut.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh isteri Perdana Menteri, Dato Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.