Aikk, bukan dulu Putin kamceng dengan Trump? Sekarang main pantau-pantau pula!
Rusia memberi amaran tegas kepada Donald Trump yang sekali lagi menunjukkan cita-citanya untuk memiliki Greenland, mencetuskan drama geopolitik di Artik yang kian panas.
Setelah Denmark mengakui kelemahan pertahanannya di wilayah itu, Kremlin pantas bertindak.
Jurucakap Presiden Vladimir Putin, Dmitry Peskov, menegaskan bahawa Artik ialah zon kepentingan strategik Rusia dan menyatakan bahawa Moscow akan terus memperkukuh kehadiran tenteranya untuk melindungi tuntutannya.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Denmark, Troels Lund Poulsen, mengakui negara itu lambat melabur dalam kapal dan pesawat pemantauan.
Manakala Perdana Menteri Denmark Mette Frederiksen, yang pernah menolak tawaran Trump mentah-mentah untuk membeli Greenland pada 2019, menyeru pembaharuan pertahanan segera bersama NATO.
Perdana Menteri Greenland, Mute Egede, turut mempertahankan kedaulatan negaranya dengan menegaskan bahawa tanah air mereka bukan barang dagangan.
Dengan Rusia dan China berlumba-lumba menguasai laluan perkapalan dan sumber Artik, kenyataan Trump sekali lagi mencetuskan kebimbangan dan heboh di Eropah.
Setiausaha Luar Britain, David Lammy, menyifatkan pendekatan Trump sebagai “ketidaktentuan berbaur imperialisme” yang bakal mencetuskan konflik global.