Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas barangan seludup bernilai RM1.29 bilion termasuk duti dan cukai dari Januari hingga Julai tahun ini, meningkat 28% berbanding RM1.01 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Meskipun jumlah kes menurun sedikit kepada 4,438 berbanding 4,528 tahun lalu, nilai rampasan melonjak hasil tumpuan terhadap sindiket berskala besar.
Antara rampasan utama ialah 3,579 kilogram dadah bernilai RM370.35 juta, 1.49 bilion batang rokok haram bernilai RM268.10 juta, serta 59.66 juta liter minuman keras bernilai RM62.62 juta.
Mengikut negeri, Selangor mencatat rampasan tertinggi iaitu RM196.24 juta, diikuti Johor (RM174.83 juta), Sarawak (RM139.93 juta), Sabah (RM90.24 juta) dan KLIA (RM78.24 juta).
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana, berkata peningkatan nilai rampasan membuktikan kejayaan strategi baharu yang menekankan keberhasilan, termasuk menumpukan siasatan ke atas penghantaran kontena bernilai tinggi.
Beliau turut mengingatkan bahawa kegiatan penyeludupan khususnya rokok, arak, mercun, dadah dan kenderaan bukan sahaja merugikan hasil negara malah mengancam keselamatan awam.