China kini merangka pelan agresif untuk menyelamatkan ekonominya dengan menaikkan gaji, menstabilkan pasaran saham dan hartanah, serta menawarkan insentif kepada pasangan yang mahu mempunyai anak.
Langkah ini diumumkan selepas negara itu bergelut dengan deflasi dan kelembapan perbelanjaan pengguna sejak pandemik.
Buat pertama kali sejak Presiden Xi Jinping berkuasa lebih sedekad lalu, pemulihan penggunaan menjadi keutamaan tertinggi kerajaan.
Beijing mahu memastikan rakyat mempunyai lebih wang untuk berbelanja, dengan menyesuaikan gaji minimum dan memperkukuh sokongan pelaburan untuk merancakkan ekonomi.
Pasaran serta-merta memberi reaksi positif dengan saham China melonjak paling tinggi dalam dua bulan selepas pengumuman ini.
Kini, semua perhatian tertumpu pada sidang media Isnin ini, di mana pegawai kewangan akan memperincikan strategi kerajaan berharap agar strategi tersebut akan membawa banyak manfaat buat rakyat.
Namun, adakah rakyat bersedia membuka dompet, atau langkah ini sekadar panik kerajaan yang masih gagal mengembalikan keyakinan ekonomi?