Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Mata wang ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS, disokong oleh kelemahan nilai Indeks Dolar AS (DXY) yang merosot 0.33% kepada 98.271 mata susulan cuti umum sempena Hari Natal.
Pada jam 10:41 pagi, ringgit dibuka pada paras 4.0650 iaitu mengukuh 0.27% berbanding dolar AS sejak dibuka pada awal dagangan Selasa di sesi Asia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjelaskan bahawa indek DXY melemah berikutan pengurangan penyertaan pasaran semasa tempoh perayaan, selain pegawai Federal Reserve (Fed) yang kini lebih cenderung untuk menurunkan kadar faedah.
Beliau turut menyatakan bahawa beberapa petunjuk daripada Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) baru-baru ini mencadangkan pendekatan lebih berwaspada.
Walau bagaimanapun, penggubal dasar kekal bersikap terbuka dan sehaluan berhubung pemilihan masa bagi melaksanakan pelarasan kadar faedah pada masa hadapan.
Sementara itu, keputusan FOMC pada 10 Disember lalu menyaksikan ahli penggubal memberi pandangan berbeza dengan dua ahli mengundi untuk mengekalkan penanda aras manakala seorang ahli memilih untuk mengundi menyokong penurunan 50 mata asas.
Pada pembukaan, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.
Ia merosot berbanding pound Britain kepada 5.4751/4906 daripada 5.4750/4790 dan menurun berbanding yen Jepun kepada 2.5908/5983 daripada 2.5896/1618.
Bagaimanapun, ia meningkat berbanding euro kepada 4.7821/7956 daripada 4.7827/7862 semalam.
Ringgit turut diniagakan lebih kukuh berbanding mata wang ASEAN.
Ia melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.1556/1647 daripada 3.1592 dan naik berbanding baht Thailand kepada 13.0560/1022 daripada 13.0740/0895.
Ia juga menambah berbanding rupiah Indonesia kepada 242.2/243.1 daripada 242.9/243.3 dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.92/6.94 daripada 6.94/6.95 sebelum ini. – Bernama
























































