Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Mata wang ringgit dibuka sedikit rendah berbanding dolar AS pada hari terakhir 2025 selepas minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) diterbitkan semalam.
Pada jam 10:32 pagi, ringgit dibuka pada 4.0510 iaitu menyusut 0.15% berbanding dolar AS sejak dibuka pada awal dagangan Rabu di sesi Asia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberi amaran bahawa pelonggaran dasar monetari ketika inflasi kekal tinggi boleh menjejaskan kredibiti dasar ekonomi, meskipun minit mesyuarat FOMC menyokong dolar AS buat masa ini.
Beliau turut menyatakan bahawa Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.21% kepada 98.238 mata apabila pegawai Federal Reserve (Fed) dilihat berbelah bahagi mengenai hala tuju kadar faedah.
Sebahagian pihak menyokong pergerakan yang lebih neutral bagi mengelakkan kelembapan dalam pasaran buruh.
Pada pembukaan, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5850/2.5926 daripada 2.5948/2.5978 semalam, melonjak berbanding euro kepada 4.7479/4.7614 daripada 4.7621/4.7674 dan mengukuh berbanding pound British kepada 5.4440/5.4595 daripada 5.4678/5.4738 sebelum ini.
Ringgit turut diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia menambah berbanding dolar Singapura kepada 3.1474/3.1566 daripada 3.1526/3.1566 dan sedikit berubah berbanding rupiah Indonesia pada 241.0/241.8 daripada 241.2/241.6.
Namun, ia menjunam berbanding baht Thailand kepada 12.8460/12.8924 daripada 12.8404/12.8620 dan mendatar berbanding peso Filipina pada 6.87/6.89 daripada 6.87/6.88 sebelumnya. – Bernama



























































