Ringgit berjaya mengekalkan momentum kenaikan berbanding dolar AS pada hari kedua, didorong oleh data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lemah, serta Federal Reserve (Fed) menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas.
Pada jam 10:39 pagi, ringgit dibuka pada paras 4.1000 iaitu mengukuh 0.19% berbanding dolar AS sejak dibuka pada awal dagangan Jumaat di sesi Asia.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjelaskan bahawa Indeks Dolar AS (DXY) menyusut 0.44% kepada 98.348 berikutan data pasaran tenaga kerja yang semakin suram.
Beliau turut menjangkakan bahawa ringgit akan kekal dalam julat sempit dan mungkin cuba menembusi paras RM4.10 berbanding dolar AS.
Pada pembukaan, ringgit didagangkan lebih rendah berbanding mata wang utama lain.
Ia menyusut berbanding pound Britain kepada 5.4911/5045 daripada 5.4879/4966, merosot berbanding euro kepada 4.8138/8256 daripada 4.8025/8101 dan menurun berbanding yen Jepun kepada 2.6368/6434 daripada 2.6333/6375.
Ringgit turut diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 245.8/246.5 daripada 246.1/246.6 dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.95/6.97.
Bagaimanapun, ia melemah berbanding baht Thailand kepada 12.9542/12.9940 daripada 12.9219/12.9505 dan menjunam berbanding dolar Singapura kepada 3.1739/1819 daripada 3.1711/1763.. – Bernama





















































