Perjanjian sementara yang menurunkan kadar tarif antara kedua-dua negara tamat pada 10 November, menyebabkan kebimbangan terhadap kebangkitan semula perang perdagangan.
Malaysia dipilih sebagai lokasi rundingan baharu memandangkan negara ini berperanan besar dalam rantaian eksport serantau, khususnya dalam sektor elektronik dan semikonduktor.
Namun, Malaysia turut terdedah kepada risiko apabila Trump mengancam tarif sehingga 100% ke atas produk teknologi yang dikaitkan dengan China.
Dalam kenyataan kepada Fox Business Network, Trump mengakui bahawa tarif tinggi ke atas import China ‘tidak mampan’, namun menegaskan tindakan itu perlu kerana Beijing didakwa mengembangkan sekatan eksport terhadap bahan nadir bumi yang penting untuk industri teknologi global.
Menariknya, nada Trump terhadap China dilihat lebih berlembut pada hujung minggu dengan beliau mengesahkan akan bertemu Presiden Xi Jinping di Korea Selatan dalam tempoh dua minggu. Trump menyatakan keyakinan bahawa rundingan akan membawa kepada perjanjian yang adil antara kedua-dua negara.
Pengumuman itu membantu meredakan tekanan di pasaran kewangan AS, dengan indeks utama Wall Street yang pada awalnya jatuh akibat ketegangan tarif, kembali menguat pada sesi dagangan petang.
Selain itu, Ketua Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menggesa kedua-dua negara mengekang retorik dan mengurangkan ketegangan perdagangan, memberi amaran bahawa perpisahan ekonomi antara AS dan China boleh menjejaskan pengeluaran global sebanyak 7% dalam jangka panjang.
Pertemuan Bessent dan He di Malaysia dilihat sebagai peluang penting untuk menstabilkan hubungan perdagangan dua kuasa ekonomi dunia yang semakin tegang.